BUDAYA BERJIMAT CERMAT
“Membazir itu adalah amalan syaitan”. Itulah istilah yang sering kita dengar di kaca-kaca televisyen mahupun di corong-corong radio mengenai perihal amalan berjimat-cermat. Istilah ini juga sering diuar-uarkan oleh pihak kerajaan pada zaman muasir ini. Dasawarsa ini, negara kita telah dilanda oleh gelombang inflasi secara global. Setiap pengguna tidak dapat melepaskan diri daripada kepompong inflasi. Adakah masyarakat Malaysia tidak tahu berjimat-cermat? Sebenarnya, berjimat-cermat merupakan istilah keramat yang memacu kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara. Dalam konteks ini, semua individu dalam sebuah negara memainkanperanan penting dalam mengamalkan amalan berjimat-cermat. Filosofer Laotze berkata,”kehidupan membazir dan tamak akan mendorong manusia ke arah kebinasaan”. Hal ini demikian memanifestasikan bahawa pentingnya peranan pelbagai pihak dalam mewujudkan amalan berjimat-cermat dalam kehidupan seharian kita.
Indikator utama untuk mewujudkan amalan berjimat-cermat dalam kalangan masyarakat adalah golongan masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mengamalkan sikap berjimat-cermat dalam aspek kewangan kerana sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit dan sehari selembar benang lama-lama jadi kain. Ibu bapa diwajarkan mendidik anak-anak supaya menabung sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian akan dapat membantu mereka membiayai perbelanjaan anak-anak apabila melanjutkan pelajaran ke manara gading. Adakah kita mahu menghulurkan tangan untuk meminta bantuan? Mesti tidak bukan. Sebaliknya, segala masalah akan dapat dikekang atau diminimumkan jika kita dapat berjimat-cermat dan sentiasa menabung dalam kehidupan seharian. Tuntasnya, amalan berjimat-cermat merupakan tindakan berjaga-jaga untuk membuat persediaan sebelum berlakunya sesuatu kecemasan kerana panas tidak sampai ke petang.
Kontinuiti daripada itu, kajian menunjukkan
bahawa golongan wanita memainkan peranan penting dalam mencorakkan perbelanjaan
keluarga. Bagi golongan wanita yang celik ekonomi, mereka seharusnya peka dan
mengambil berat tentang wang yang dibelanjakan. Oleh itu, untuk memastikan
ekonomi dalam rumahtangga mereka
sentiasa stabil dan jimat, suri rumah ini haruslah mengikis sikap terburu-buru
semasa membuat pilihan, bijaksana serta teliti ketika berbelanja. Misalnya,
golongan wanita sewajarnya tidak perlu mempercayai iklan-iklan jualan murah
yang indah khabar dari rupa kerana apa yang diperkatakan tidak persis dengan
yang sebenarnya. Jika selama ini ada sesetengah daripada mereka yang taksub
dengan barangan buatan luar negara yang kononnya berkualiti tinggi, kini mereka
boleh beralih arah dengan barangan tempatan yang lebih berkualiti. Ternyatalah,
suri rumah sebenarnya juga dapat membantu menjana ekonomi negara.
Kesinambungan daripada itu, pihak kerajaan juga haruslah ringan tulang
untuk menganjurkan kempen yang mengenai peri pentingnya amalan berjimat-cermat
dalam kehidupan masyarakat. Kempen ini juga boleh dijadikan sebagai serampang
dua mata kerana selain menerangkan mengenai ganjaran yang bakal di perolehi
oleh ahli masyarakat, pihak kerajaan juga boleh menanam sikap berjimat-cermat
secara berperingkat dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, masyarakat akan
mula muhasabah diri setelah mereka mengikuti atau pun menghadiri kempen yang
dianjurkan oleh pihak kerajaan ini dan seterusnya akan mempraktikkan segala
kebaikan yang di perolehi untuk menjadi seorang yang berjimat-cermat. Hal ini
demikian kerana manusia hanya ingin mengejar kemewahan hidup dan bersikap boros
dan mengubah nasib hidup mereka. Jelaslah, berkempen merupakan uslub yang mampu
melahirkan masyarakat yang berjimat-cermat.
Seterusnya, media massa juga
memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan amalan berjimat-cermat dalam
kalangan ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana saban hari isu ceti haram
atau along sering menghiasi dada-dada akhbar sehingga mengsa tersebut membunuh
diri malah membunuh keluarga kerana tidak larat menghadapi penganiayaan along
bermaharajalela. Ketika mengamati berita ini, kita dapat mengetahui bahawa
mangsa berkenaan tidak mahir mengurus pendapatan mereka. Lazimnya, mereka tidak
bersikap ukur baju di
badan sendiri tetapi membesarkan kerak nasi dalam perbelanjaan. Jadi, berita
yang dikeluarkan melalui media massa mahupun media cetak mampu menakutkan
masyarakat supaya menjauhi diri mereka daripada terjebak dengan masalah
tersebut. Tegasnya disini, amalan berjimat-cermat berupaya menguruskan
perbelanjaan secara teliti ibarat menarik rambut dalam tepung daripada
berhutang.
Indikator langkah yang terakhir adalah peranan diri sendiri terhadap sumber kewangan masing-masing. Sebagai warganegara Malaysia yang hidup dalam udara hasil daripada kemerdekaan seharusnya sudah mampu berfikir di luar kotak pemikiran untuk mempraktikkan amalan berjimat-cermat dalam mengharungi pancaroba dunia ledakan teknologi kini. Jika kita dapat menjimatkan setiap perbelanjaan yang tidak diperlukan, nescaya kita gagal menyimpan sejumlah wang yang banyak dalam tabung. Janganlah sesekali berbelanja mengikut hawa nafsu kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Oleh itu, seseorang itu haruslah bijak menggunakan akal yang telah dikurniakan oleh ALLAH S.W.T untuk mendisiplinkan diri sendiri ke arah kebaikan. Jadi, ketika kita berbelanja, kita perlu mengingati peribahasa keramat ini iaitu ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Terbuktilah bahawa peranan diri sendiri mampu melahirkan individu yang berjimat-cermat.
Kesimpulannya, semua pihak tidak memandang enteng mengenai amalan berjimat-cermat kerana amalan ini merupakan nilai-nilai murni yang telah kita warisi sejak turun-temurun. Masyarakat juga haruslah buka mata dan telinga supaya amalan ini tidak pupus dek ditelan zaman. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menggabungkan 1001 kombinasi yang cukup gah dan padu untuk memastikan amalan ini terus subur dan diamalkan oleh generasi yang akan datang. Kita perlu ingat amalan ini merupakan peti asas untuk mencapai aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Bersamalah kita mengangkat amalan berjimat-cermat ke martabat yang lebih tinggi agar dapat menghirup variasi transformasi yang bakal mengegarkan dunia dan membuka mata masyarakat dunia bahawa rakyat Malaysia juga boleh mencapai kemajuan tanpa campur tangan daripada kuasa besar dunia.